JKKN anjur pertandingan cungkil bakat sempena Festival Seni Hidup 2021

61
 
0
 

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) akan menganjurkan Festival Seni Hidup@Living Arts Cultural Festival (LACF) yang akan bermula pada 29-31 Oktober 2021.

LACF merupakan festival yang menghimpunkan kesenian yang diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), dan Warisan Kebangsaan. Ia salah satu platform yang mengetengahkan warisan negara yang hampir pupus dan seterusnya menjadi pencetus kepada usaha pemuliharaan dan pemeliharaan.

Sempena penganjuran LACF 2021, JKKN melaksanakan pencungkilan bakat melalui pertandingan yang menjuruskan tiga kategori iaitu Pertandingan Nyanyian Lagu-Lagu P.Ramlee, Cabaran Joget dan Pertandingan Busana Tradisional Malaysia.

Penyertaan dibuka bermula 20 Ogos sehingga 20 September 2021. Manakala pertandingan akhir akan diadakan pada 29 sehingga 31 Oktober 2021. Hadiah wang tunai berjumlah RM23,000.00 bakal menjadi milik pemenang.

Tiga kategori yang dipertandingkan.

Berbeza dengan penganjuran LACF pada tahun 2018 dan 2019, program pencungkilan bakat kali ini merupakan julung kali diadakan bagi sesi 2021.

Orang ramai juga berpeluang mengundi peserta kegemaran mereka menerusi Halaman Peminat Facebook Rasmi LACF bermula 25 September hingga 20 Oktober 2021.

Selain pencungkilan bakat, penonton maya juga berpeluang menyaksikan persembahan dan dokumentari ‘Warisan Tidak Ketara’ daripada Malaysia, Lao PDR, Turki, Indonesia, Cambodia, Korea Selatan, China, Sri Lanka, Filipina, Kanada, Australia, Vietnam dan Thailand menerusi laman www.cloudtheatre.com dan Facebook JKKN TV.

Penonton juga berpeluang mengikuti bengkel seni lipatan kertas, galeri maya, webinar dan pelbagai aktiviti lain.

Menurut Ketua Pengarah JKKN, Haji Mesran Mohd Yusop, program pencungkilan bakat ini diharapkan dapat membantu menyemarakkan seni budaya di negara kita, di samping menjadi pencetus kepada usaha pemeliharaan warisan negara.

Bagi yang berminat untuk menyertai pertandingan mencungkil bakat ini, anda hanya perlu muat naik video anda ke Google Drive atau wetransfer dan sertakan pautan di bahagian borang penyertaan.

Anda juga boleh mengimbas QR Code dalam poster atau layari laman sesawang JKKN untuk muat turun borang penyertaan.

Untuk rekod, sebanyak 149 lagu-lagu nyanyian dan gubahan Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee telah diisytihar sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2018. Manakala Joget Melayu pula telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan pada tahun 2007.

 

https://utusantv.com/2021/08/25/jknn-anjur-pertandingan-cungkil-bakat-sempena-festival-seni-hidup-2021/